Baik Buruk Isu Pemansuhan PTPTN

Berikut adalah pendapat peribadi dan hak penulis untuk berfikir secara kritis.

Kebelakangan ini kita dibangkitkan dengan isu pemansuhan PTPTN dan pembelajaran percuma untuk Institusi Pengajian Tinggi. Secara ringkas, pihak pembangkang telah mengwar-warkan mereka akan memansuhkan PTPTN sekiranya menang pilihanraya nanti. Sejumlah besar RM 43 BILLION akan lupus dalam sekelip mata. Politik ke tepi, adakah ini masuk akal?

PTPTN diwujudkan pada 1997 untuk memberi pinjaman kepada bakal mahasiswa yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mahasiswa akan mula membuat pembayaran selepas tamat tempoh pelajaran. Lazimnya mahasiswa akan mengikat perjanjian dengan dengan pihak PTPTN secara bertulis.

Pemansuhan PTPTN

Rata-rata di Internet ramai yang mengutuk keras tindakan PTPTN yang mengenakan bunga pinjaman sebanyak 4%. Pada pendapat penulis, 4% adalah jumlah yang sangat kecil berbanding faedah kad kredit yang biasanya 18% setahun. Adalah tidak masuk akal sekiranya faedah bawah 4%, kerana wang yang di beri digunakan untuk belajar dan belajar itu sendiri adalah aset peribadi. Jika dibanding dengan bunga untuk pinjaman kereta sebanyak 3.3% setahun dan kereta juga adalah aset.

Keduanya adalah aset, tapi pendidikan adalah aset yang jauh lebih tinggi nilainya. Contoh mudah, lepasan SPM gaji RM 1,200, lepasan Ijazah pula RM 2,500. Manakala kereta pula akan susut nilainya bila mula dimamah usia atau sebaik sahaja keluar dari bilik pameran.

Inilah dia orang kita, kalau belanja ke arah ilmu punyalah kedekut dan berkira. Kalau kereta Proton Preve, Samsung Galaxy Note, iPhone4 untuk tunjuk gah bukan main lagi.

Pemansuhan PTPTN juga akan mengakibatkan sejumlah wang RM 43 billion lupus sekelip mata, sekaligus memansuhkan perjanjian pinjaman yang telah diikat dengan mahasiswa terdahulu. Ini bercanggah dengan ajaran Islam dalam syarat hutang-menghutang. Jika kita mati tanpa menyelesaikan hutang kelak di akhirat kita terpaksa mencari penghutang untuk menghalalkan segala urusan dunia. Jika wang ini adalah wang rakyat, maka jenuhlah nak minta halal dari semua.

Ada juga yang menyuarakan bahawa pinjaman yang telah dibuat hendaklah dialih ke tajaan penuh. Ini salah. Perjanjian hutang-penghutang telah ditanda-tangani, masakan boleh berubah? Ini sama seperti saya pergi ke bank dan beritahu mereka, ‘kereta ni, awak tukar jadi tajaan penuh, hasil dari peraduan yang saya masuk tempoh hari, jadi tak perlulah saya bayar bulan-bulan’.

Kalau anda adalah seorang salah seorang yang membuat pinjaman, selesaikanlah cara baik. Jika ia membebankan, mintalah PTPTN untuk melanjutkan lagi tempoh bayaran. Kalau betul dah menyampah sangat, ambil pinjaman peribadi dan langsaikan semua. Maka kenalah anda bunga sebanyak 5% (paling rendah setahun). Korek lubang, kambus lubang, korek balik. Memang bijak.

Pelajaran Pendidikan Tinggi Percuma

Demi masa depan anak bangsa sendiri, penulis merasakan cadangan ini sangat bernas. Namun terlebih dahulu, hendaklah ditimbal apa yang perlu dibayar, apa yang tak perlu. Pendapat penulis, tiada yuran pelajaran harus dikenakan, tetapi yuran asrama, makmal komputer, perpustakaan dan sebagainya haruslah dipikul oleh pelajar sendiri.

Jika tidak berkemampuan, silalah buat pinjaman pelajaran di bank kerana PTPTN telah dimansuhkan. Di sini penulis ingin mengambil kesempatan dengan mengucapkan, ‘GOOD LUCK-lah’ kerana tak mungkin bank akan mengambil risiko seperti PTPTN. Pinjaman peribadi? Sila lampirkan slip gaji 3 bulan. Hasil part-time anda adalah RM 800 sebulan, maaf, tidak cukup, syarat minima adalah RM 2,000 dan mesti dikepilkan sekali surat dari majikan.

Manakala bagi yang berkemampuan pula boleh mendukung diri sendiri.

Syarat-syarat lain haruslah diperketatkan, seperti syarat layak kemasukan, syarat habis belajar dan sebagainya. Saban hari kedengaran, quota untuk pelajar bumiputera tak cukup, kaum lain mesti dipersalahkan, Menteri, ADUN, Parliment semua habis di heretnya walhal diri sendiri yang main-main ketika SPM dahulu. Mana yang terlebih mampu atau dari golongan elite, sama sekali tidak layak untuk yuran pelajaran percuma.

Syarat habis belajar pula dikenakan kerana tidak mahu mahasiswa menghabehkan bogheh ajo (menghabiskan beras sahaja). Mahasiswa hanya akan diberi tempoh lebihan hanya satu penggal, lebih dari tu, pembiayaan kendiri.

Rumusan

Secara ringkasnya, PTPTN seharusnya kekal untuk menyediakan perkhidmatan pinjaman pelajaran (COLA, Cost of Living and Allowance) kepada mahasiswa dan kerana RM43 billion itu lebih baik dikekalkan, sebaliknya disuntik untuk pembangunan lain. PTPTN juga tidak boleh bertindak seperti ah-long, kerana anda semua ni adalah orang baik dan amanah, maka harus menjaga imej dan kecerdikan dari dicemari kebongkakkan dan kesombongan. Ingatlah Allah amat membenci orang yang sombong.

Pelajaran percuma harus diberikan kepada yang layak sahaja. Syarat-syarat tertentu mestilah diperkukuhkan untuk menjaga nama baik dan quality keluaran universiti tanah air.

Kan mudah, takde nak marah-marah orang cakap bodoh etc.

36 Replies to “Baik Buruk Isu Pemansuhan PTPTN”